Saturday, September 20, 2014

KECACATAN BIBIR DAN LELANGIT BOLEH DIBEDAH SEAWAL USIA TIGA BULAN - CLAPAM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Kanak-kanak yang mengalami kecacatan
bibir dan lelangit boleh menjalani pembedahan seawal usia tiga bulan, menurut
Pengerusi Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) Zainal Azahari
Ahmad.

Beliau berkata pembedahan awal itu adalah bagi memastikan anak-anak terbabit
boleh menjalani rawatan susulan keseluruhan meliputi bibir, lelangit, struktur
gigi dan pendengaran.

Bagaimanapun, Zainal Azahari mengingatkan ibu bapa terlibat supaya tidak
terburu-buru mempercepat proses pembedahan itu, sebaliknya perlu melihat
keperluan serta keadaan kesihatan dan tumbesaran.

"Untuk pembedahan pertama, anak yang mengalami klef perlu mempunyai berat
badan sekurang-kurangnya 10kg," katanya kepada pemberita selepas menerima
sumbangan RM100,000 daripada Persatuan Isteri-isteri dan Kakitangan Wanita
Petronas (Petronita) di sini, hari ini.

Zainal Azahari berkata persatuannya mahu meningkatkan kesedaran protokol
pengurusan kecacatan bibir dan lelangit kepada ibu bapa kanak-kanak yang
mengalami masalah tersebut.

-- LAGI
KLEF-BEDAH 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Beliau berkata ini penting bagi memastikan ibu bapa mengetahui kaedah
mengurus dan menjaga anak-anak terbabit memandangkan mereka akan menjalani
pembedahan dan rawatan susulan secara berperingkat-peringkat.

Mengenai sumbangan itu, Zainal Azahari berkata ia akan digunakan untuk
membantu membiayai kos pembedahan anggota persatuan, selain membeli barang
keperluan lain khusus untuk bayi yang mengalami masalah tersebut.

Sumbangan bagi membantu menjayakan program CLAPAM itu, diserahkan pada
majlis yang diadakan sempena kerjasama enam tahun di bawah Program Tanggungjawab
Sosial Korporat(CSR) dengan Pusat Perubatan Prince Court.

Presiden Petronita Datin Sharifah Salwa Syed kamaruddin dalam ucapannya
berkata mereka berharap ia akan mewujudkan kesedaran awam serta menggalakkan
golongan industri, organisasi dan individu untuk menyokong keluarga yang
mempunyai kanak-kanak klef serta kecacatan kraniofasial lain.

Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Kebajikan Petronita Nazrin Aneeza
Nazaruddin.
-- BERNAMA

No comments :